KUALA LUMPUR 1 Mac - Ratu skuasy negara Datuk Nicol David gagal menempatkan diri sebagai empat pemain akhir untuk bersaing pada kejohanan terbuka Windy City Open 2016 di Chicago, Amerika Syarikat pada Isnin.

Pemain berusia 32 tahun ini yang juga pemain nombor dua dunia terkeluar apabila kalah kepada pemain Mesir, Nour El Sherbini 11-9, 12-10 dan 11-9 dalam masa 36 minit di University Club of Chicago.

Ia adalah kekalahan kedua Nicol tahun ini selepas kalah dalam separuh akhir kejohanan Tournament of Champions (TOC) di New York pada Januari.

Sementara itu Nour mengaku ia bukan mudah setiap kali bertemu Nicol, walaupun dapat mengatasi Nicol.

"Menentang Nicol sangat sukar. Saya terpaksa bekerja keras menentangnya. Hari ini saya tidak banyak berfikir. Saya hanya bermain. Ketiga-tiga set boleh memihak kepada sesiap sahaja, namun syukur akhirnya ia adalah milik saya," katanya seperti yang dipetik dalam laman web kejohanan windycityopen.ussquash.com.