KUALA LUMPUR 29 Mac - Polis menahan lima pemandu teksi yang melanggar arahan tidak berhimpun di Jalan Bukit Bintang, sebentar tadi.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zainol Samah, berkata suspek berusia antara 30-an hingga 50-an itu ditahan kerana masih berhimpun walaupun diarah bersurai.

"Lebih 100 pemandu teksi berhimpun bersama kenderaan mereka hingga menyebabkan kesesakan di kawasan terbabit kira-kira jam 10 pagi tadi.

"Polis meminta mereka bersurai tetapi lima pemandu ingkar dan masih berhimpun di kawasan itu.

"Mereka ditahan untuk membantu siasatan," katanya dalam satu kenyataan, sebentar tadi.

Pada jam 10 pagi tadi, kira-kira 500 pemandu teksi berhimpun sebagai membantah kehadiran teksi Uber dan Grabcar yang didakwa mengganggu mata pencarian mereka.

Tinjauan BH di sekitar lokasi mendapati, beberapa premis tidak beroperasi manakala laluan masuk ke Bukit Bintang turut ditutup hingga menyebabkan kesesakan lalu lintas.