KAJANG 24 Mac - Polis menumpaskan Geng Azhar yang aktif melakukan samun dengan menyamar sebagai pegawai kastam selepas menahan lima individu termasuk ketuanya dalam dua serbuan di Rawang dan Petaling Jaya, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Willey Richard, berkata semua suspek termasuk seorang wanita berusia 32 hingga 55 tahun ditahan hasil maklumat awam dan risikan.

"Dalam serbuan itu, polis merampas pelbagai pakaian seperti jaket dan pakaian seragam dengan logo kastam, selain hasil samun termasuk kad prabayar telefon bimbit dan walkie talkie.

"Semua suspek direman sehingga 29 Mac ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang di sini, sebentar tadi.