KUALA LUMPUR 24 Mac - Seramai 162 orang yang terbabit dengan elemen pengganas Kumpulan Negara Islam (IS) ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) setakat 14 Mac lalu, menurut Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Kementerian itu dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat menyatakan bagaimanapun KDN tidak berhasrat mendedahkan secara terperinci maklumat tersebut agar tidak mengganggu siasatan polis.

Daripada jumlah yang ditahan itu lima adalah warga Sabah, menurut kementerian bagi menjawab soalan Datuk Dr Marcus Mojigoh (BN-Putatan) tentang jumlah individu ditahan pihak berkuasa akibat penglibatan dalam aktiviti militan IS khususnya di Sabah.

Berhubung soalan tentang jumlah dana asing yang disalur kepada kumpulan itu dan dirampas pihak berkuasa, katanya sehingga kini tiada dana asing yang masuk ke negara disabitkan dengan keganasan domestik atau luar negara.

Menurutnya kerajaan amat komited memerangi aktiviti militan di negara ini dengan melaksanakan beberapa tindakan.

Katanya antara tindakan itu adalah mengadakan perkongsian maklumat dengan agensi perisikan luar negara khususnya negara anggota ASEAN, menyenarai hitam individu yang disyaki terlibat dalam kumpulan itu dan memasukkan nama mereka ke dalam Senarai Syak bagi menyekat pergerakan mereka di pintu keluar dan masuk negara.

"Selain itu, kerajaan sedang dalam usaha melaksanakan Sistem Saringan Awal Penumpang (APSS) ke atas pelancong yang memasuki negara ini sebelum berlepas dari negara asal bagi memastikan setiap warga negara asing ditapis dengan lebih awal dan terperinci," kata kementerian.

Menurut KDN, kerajaan juga menahan mereka yang terlibat kumpulan militan mengikut undang-undang pencegahan seperti Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA) dan Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA).