JITRA 17 Mac - Sepasang suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Majistret Jitra hari ini atas tuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 247 kilogram, awal bulan ini.

Abdul Rahman Mohd Zain, 55, dan isterinya seorang warga Thailand, Sophaporn Saengsiri, 44, dituduh melakukan kesalahan itu pada 5 Mac lalu, di alamat Jalan Teja 8/1, Taman Teja Changlun, Kubang Pasu.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh yang diwakili peguam J Shamsher Shing, ketika pertuduhan dibacakan dalam bahasa Melayu kepada Abdul Rahman, dan bahasa Thailand kepada Sophaporn.

Kedua-dua mereka dituduh mengikut Seksyen 39 B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan akan dikenakan hukuman gantung sampai mati.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwaraya, J Savinder Singh, di hadapan Majistret Mohd Khairul Hafizuddin Ramli.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 5 Jun depan sementara menunggu hasil laporan Jabatan Kimia.