SEREMBAN 10 Mac - Paras air di tiga empangan iaitu Kelinchi, Gemencheh dan Teriang di Negeri Sembilan menghampiri paras kritikal berikutan cuaca panas dan kering kesan fenomena El Nino, sejak awal tahun ini.

Empangan Kelinchi merekodkan bacaan 200.10 meter (m) menghampiri paras kritikal 198.30, diikuti Gemencheh 95.15m (95.00m) dan Teriang 190.10m (190.00m).

Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) dalam satu kenyataan berkata, empat lagi empangan turut menunjukkan penurunan bacaan paras air antaranya Sungai Terip 98.36m (94.60m), Talang (Ulu Muar), 144.66m (140.50m), Sungai Beringin di Pedas 134.70m (131.75m) dan Ulu Sepri, 135.00m (127.20m).

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata, kebanyakan empangan di negeri ini dapat bertahan antara 20 hingga 35 hari sebelum bekalan air turun ke paras kritikal, sekali gus memaksa catuan air dilaksanakan.

"Kita memantau keadaan dengan teliti dan besar kemungkinan akan memulakan catuan jika tiada hujan (yang menaikkan semula paras air) selama dua minggu atau apabila bekalan air empangan turun ke paras kritikal," katanya.