IPOH 10 Mac - Lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya terbabit dalam kemalangan dengan lori di Jalan Keramat, Simpang Pulai menghala ke Cameron Highlands dekat sini, petang semalam.

Dalam kejadian 2.30 petang itu, lelaki berusia 47 tahun berkenaan tersepit di bawah tayar lori sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pulai, Hadi Abdullah berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung perkara itu sebelum sebuah jentera dikerahkan ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, pihaknya mendapati mangsa tersepit di bawah tayar lori berkenaan.

"Pasukan perubatan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia sebelum anggota bomba menarik keluar mayat," katanya.

Menurutnya, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. - Harian Metro