KUALA LUMPUR 3 Mac - Tiada rakyat Malaysia dilaporkan terbabit dalam gempa bumi kuat 7.8 magnitud yang melanda barat Sumatera, Indonesia, malam tadi.

Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim ketika dihubungi BH hari ini , berkata rakyat Malaysia yang tinggal di Padang, termasuk pelajar dilaporkan berada dalam keadaan selamat.

"Setakat ini, kita tidak menerima sebarang laporan berhubung rakyat kita terbabit dalam bencana ini.

"Ketika kejadian, majoriti pelajar Malaysia pulang ke tanah air untuk bercuti, bagaimanapun mereka (pelajar) yang masih berada di sini berada dalam keadaan selamat.

"Alhamdulillah, walaupun gempa kali ini agak kuat, namun tiada kemalangan jiwa mahu pun kerosakan besar dilaporkan," katanya.

Zahrain bagaimana berkata, pihaknya akan terus memantau dari masa ke semasa sekiranya terdapat rakyat Malaysia terbabit dalam kejadian itu.