Agenda sempit dan bersifat peribadi masih meliliti gerakan pembangkang dan ini secara langsung akan melonggarkan lagi kewibawaan dan keberkesanan mereka untuk menjadi kerajaan alternatif.

Pembangkang nampaknya mudah tergoda dengan kerlipan kemenangan kecil demi meningkatkan imej politik mereka di mata pengundi hingga mengabaikan kerangka utama perjuangan.

Ini dapat dilihat pada gelagat dan reaksi mereka apabila diuja oleh ikon politik Malaysian, Tun Dr Mahathir Mohamed yang menghulurkan tangan persahabatan demi mencapai matlamat menggulingkan perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sekonyong-konyongnya pemimpin-pemimpin kecil yang menghimpun dendam di kalangan parti pembangkang lupa atau mengabaikan landasan utama yang telah digariskan oleh bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebagai reaksi pada sifir politik Mahathir itu Anwar dalam kenyataan medianya bertarikh 3 Mac 2016 berkata: “Kita juga telah belajar dari pengalaman sejarah bahawa peralihan kuasa yang bermakna bukanlah peralihan tokoh semata tetapi perubahan sistem”.

Pendiriannya jelas. Proses perubahan tata-kelola negara tidak boleh dilakukan secara terpencar tetapi harus digarap secara mutlak dan menyeluruh kerana matlamat akhir perjuangan ialah merubah sistem.

Namun beliau tetap menyokong usaha secara berjuzuk yang hendak dilakukan oleh segolongan rakyat yang mahu mengambil langkah pertama dengan menggulingkan perdana menteri terlebih dahulu.

“Saya menyokong pendirian rakan-rakan dari masyarakat sivil, parti politik dan individu-individu termasuk Tun Dr Mahathir, Tan Sri Muhyiddin Yasin dan lain-lain untuk menggembleng kekuatan dan persefahaman bersama seperti disuarakan oleh Ketua Pembangkang baru-baru ini,” katanya.

Anwar insaf bahawa persefahaman bersama itu adalah terhad pada pada isu menuntut peletakan jawatan Datuk Seri Najib selaku Perdana Menteri yang dikatakan telah gagal mentadbir negara sahaja.

Namun beliau tetap mahu perubahan total.

Bagaimanapun masalahnya, sekutu PKR yang kini dipimpin isterinya, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, masih kelihatan gopoh dan mungkin kurang sempurna pemahamannya erti reformasi yang diidamkan beliau.

Dalam hubungan ini Pengarah Strategi PAN, Dr Dzulkifley Ahmad dilihat seolah-olah tidak dapat mengawal gejolak menggunakan langkah bertahap itu hanya demi mengisi kepentingan dan ego partinya.

Beliau bingkas menyergah PAS yang menubuhkan blok politik ketiga dengan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) dan dikhabarkan bersedia menangguhkan perjuangannya melaksanakan hukum hudud dengan melakukannya secara bertahap.

Walhal apa yang dibentangkan presiden Ikatan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir ialah PAS istiqamah dan sudahpun melaksanakan hasrat perjuangan mereka itu secara berjuzuk.

Jelas Abdul Kadir, isu hukum hudud itu adalah provokasi yang hanya dimainkan oleh penyokong UMNO di Kelantan.

“Mereka (PAS) tidak membawa hudud, selama 20 tahun memerintah, Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat juga tidak pernah bawa. Dia (Nik Aziz) tahu bahawa rakyat tidak sokong.

“Tetapi ia mendapat provokasi dari ahli-ahli UMNO di kawasan kampung terutamanya, kenapa PAS sebagai sebuah kerajaan tidak membawa hudud,” jelasnya.

Kadir menegaskan bahawa Islam bukanlah sebuah agama yang ketat, sebaliknya agama untuk semua pihak.

“Islam juga benarkan atas beberapa syarat, kita boleh menangguhkan pelaksanaan hukum hudud dan di Malaysia, saya lihat kita termasuk dalam syarat berkenaan kerana masyarakat berbilang bangsa,” ujarnya.

Beliau menegaskan bahawa tanggungjawab PAS untuk memperketatkan undang-undang mahkamah syariah juga telah selesai dan kini terpulang pada rakyat untuk menghakimi.

“Mereka telah bawa ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, kemudian bentangkan di Parlimen. Tugas mereka sudah selesai, sebagai seorang muslim, mereka telah lakukan sebaik mungkin.

“Kini terpulang kepada rakyat, untuk memilih kerajaan, kerana kini ia di bawah kuasa UMNO,” katanya.

Bagaimanapun Dr Dzulkifley yang juga bekas Pengarah Penyelidikan PAS menerkam PAS supaya memohon maaf kerana menuduh beberapa bekas ahli parti itu yang mahu isu hudud ditangguhkan sebagai boleh dihukum kafir.

“PAS yang sebelum ini menganggap, bahkan menuduh pelbagai pihak yang menolak pelaksanaan hudud di Malaysia – dengan hujah memerlukan suasana kondusif, tidak bertepatan dengan keutamaan dan umat yang belum bersedia – sebagai golongan yang menolak hudud.

“Bahkan ada sesetengah pimpinan dan ulama PAS langsung menuduh pihak-pihak tersebut sebagai liberal, sekular serta menentang syariah. Lebih berat lagi, ada di kalangan ustaz-ustaz PAS ini yang mengajar di masjid-surau, telah menjatuhkan hukuman murtad dan kafir ke atas mereka yang didakwa perlu bertaubat,” kata Dr Dzulkifley.

Beliau menuntut PAS menjelaskan kedudukan sebenarnya serta segera menarik balik tuduhan dan memohon maaf kepada semua pihak yang telah mereka zalimi dengan sikap melampau (al-ghuluw).

Malah beliau merumuskan bahawa sikap PAS sebelum ini bertujuan mencetuskan pertelingkahan di kalangan pemimpin dan parti-parti Pakatan Rakyat.

“PAS telah secara sengaja, menekankan agenda perlaksanaan hudud sebelum ini, demi mencetuskan pertelingkahan di kalangan pemimpin dan parti-parti Pakatan Rakyat, bagi akhirnya memecahkan gabungan pembangkang ini,” tegasnya.

Dr Dzulkifley juga menyimpulkan, ulama PAS juga menggunakan isu hudud bagi menyingkirkan golongan aktivis-profesional, yang kononnya menolak pelaksanaan hudud dalam muktamar Pas lalu.

Tindakan sebegini seolah-olah sudah dijangka oleh Anwar apabila beliau mengingatkan:

“Saya tegas menggesa rakan dan rakyat bersama dalam usaha ini tanpa membataskan ia sebagai agenda mahupun permusuhan peribadi. Kita harus merangka halatuju baru bagi menyelamatkan negara.”

Mungkin Anwar Ibrahim lbrahim lebih faham konteks ucapan Presiden PAS bahawa antara musuh gerakan Islam ialah golongan yang tidak sabar meraih kemenangan atau yang mengamalkan prinsip tasahul.

Atau, mungkin permasalahan ini masuk kategori golongan tasyaddud yang gopoh mahu melaksanakan tuntutan Islam tetapi kurang berhemah.

Kedua-dua sikap ini mungkin didorong nafsu mahu berkuasa segera dan ego mahu berjuang hanya mengikut cara mereka sahaja bak dedalu memanjat pohon.