Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi membuat lawak jenaka apabila bertindak keluar UMNO kerana tidak sukakan cara Datuk Seri Najib Tun Razak mentadbir negara.

Pengumuman beliau sedikit pun tidak mengejutkan rakyat Malaysia walaupun berita itu menjadi tumpuan media seluruh dunia. Serangan dan kritikan beliau selama ini pun maha dahsyat.

Kesian tokoh negara ini, macam-macam usaha dilakukan untuk jatuhkan Najib sampaikan sanggup ‘londehkan’ parti sendiri demi mencapai cita-cita jatuhkan Perdana Menteri pilihannya sendiri.

Kali pertama Dr Mahathir keluar UMNO pada 19 Mei 2008 kerana marahkan Tun Abdullah Ahmad Badawi, juga Perdana Menteri pilihannya.

Selepas itu beliau masuk balik UMNO setahun selepas itu apabila Najib menjadi Perdana Menteri. Rakyat Malaysia terus diperbodohkan oleh Dr Mahathir menerusi lakonan hebatnya, lebih hebat daripada Leonardo DiCaprio yang memenangi Anugerah Oscar baru-baru ini.

Yang paling bodoh ialah penyokong-penyokong pembangkang kerana menganggap gerakan yang mahu dilakukan oleh Dr Mahathir sebagai gergasi tsunami politik yang bakal berlaku di negara ini selepas tsunami politik 2008.

Pembangkang khususnya Parti Amanah Negara (AMANAH) dan PKR terhegeh-hegeh memuja beliau dan menawarkan kerjasama politik semata-mata mahu menjatuhkan Najib tetapi realitinya mereka menjadi boneka.

Bertambah egolah Dr Mahathir kerana walaupun sudah tua tetapi masih menjadi ‘kegilaan’ ramai sehinggalkan orang dulunya pernah mengutuk dan memaki hamumnya sanggup menjilat semula ludah dan kahak.

Presiden AMANAH, Mohamad Sabu pernah menuduh Dr Mahathir kepala penyamun tetapi sekarang menghulurkan salam kerjasama pula.

Begitu juga dengan pemimpin-pemimpin PKR yang tak sedar diri. Selama ini mereka menuduh Dr Mahathir mahazalim dan mahafiraun kerana menzalimi Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1998 tetapi sekarang bukan main mereka ‘menjilat’ pemimpin agung itu.

Adakah pemimpin AMANAH dan PKR sudah hilang ingatan atau sudah tidak waras hanya kerana terlalu taksud untuk menjatuhkan Najib? Sedarkah mereka yang berkali-kali Dr Mahathir menegaskan beliau tidak berniat menukar sistem tetapi hanya mahu menjatuhkan Najib.

Maksudnya Dr Mahathir mahu mengukuhkan UMNO dan Barisan Nasional untuk menghadapi PRU14 dengan menjadikan pembangkang sebagai kuda tunggangan untuk jimatkan tenaganya.

Adakah matlamat beliau selari dengan matlamat pembangkang yang berbuih-buih berjanji dengan rakyat untuk menukar sistem kerajaan secara menyeluruh atau bahasa lebih mudah menukar kerajaan, bukan setakat menjatuhkan Najib.

Kalaulah Najib berundur, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pula naik dan lebih teruk berbanding Najib, bagaimana? Ciri-ciri tu sudah ada dengan isu kemasukan beramai-ramai pekerja Bangladesh.

Dan katakanlah Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dipilih menjadi Perdana Menteri, adakah puak-puak pembangkang ini puashati? Sedangkan matlamat mereka mahu menukar kerajaan.

Lebih baik puak-puak pembangkang ini ketepi jangan masuk campurlah hal dalaman UMNO. Biar UMNO sendiri selesaikan. Bab Dr Mahathir senang untuk diselesaikan kerana beliau ada matlamat sendiri bukan berjuang untuk rakyat sangatpun.

Lebih baik jadi macam PAS yang berkecuali kerana sedar dengan permainan Dr Mahathir. Walaupun PAS parti pendendam kerana masih tidak lupakan Peristiwa Memali, sekurang-kurangnya mereka realistik dan waras.

Jangan lupa wahai rakyat Malaysia, Dr Mahathir selama 22 tahun menjadi Perdana Menteri, beliau telah meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti, ISA, sekatan kebebasan media, meminda kuasa raja-raja Melayu dan beberapa skandal besar seperti Perwaja, Bank Bumiputra, penjualan syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) yang melibatkan billion ringgit.

Mungkin anda berkata, walaupun banyak skandal tetapi beliau tidak menyusahkan rakyat berbanding zaman Najib. Pendapat itu betul tetapi tidak bermakna Dr Mahathir tidak berdosa kepada rakyat. - Free Malaysia Today