KUALA LUMPUR 29 mAC - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menghina kebanyakan ahli dan pemimpin UMNO yang ada pada hari ini sudah menjadi bisu, pekak dan buta.

Menerusi entri terbaru di laman blog chedet.cc, Dr Mahathir berkata, mereka sebenarnya sudah tidak lagi sayang kepada UMNO kerana didakwa telah banyak makan dedak yang disuap oleh Datuk Seri Najib Razak.

“Kerana kepentingan diri dan tamak UMNO tidak akan menjatuhkan Najib. Kerana kepentingan diri, bangsa, negara dan agama juga sanggup dijual. Tidak ada ahli UMNO selain daripada beberapa Ketua Cawangan yang berani menentang Najib. Kalau nak harap UMNO jatuhkan Najib, tidak mungkin.

“Ini bukan UMNO lagi. Janganlah berlagak sebagai ahli UMNO yang kononnya tidak sanggup melihat saya bersama Kit Siang. Yang tidak sayang UMNO ialah kamu sekalian (ahli UMNO), kamu yang membisu, kamu yang pekak dan buta kerana semua anggota ini sudah ditutup dengan dedak dan lain-lain,” tulisnya.

Dr Mahathir mendakwa, Perdana Menteri telah memalukan negara apabila telah menyebabkan Malaysia kini dikenali sebagai satu daripada 10 buah negara yang mengamalkan rasuah terbesar.

Katanya, Najib sendiri sudah dicemuh di seluruh dunia dan disokong pula oleh ahli-ahli UMNO pemakan dedak.

“Ini adalah pengkhianatan terhadap UMNO, terhadap orang Melayu, terhadap negara. Kami tak makan dedak,” ujarnya.

Di akhir tulisannya, Dr Mahathir berkata, rakyat kini lebih benci melihat ahli UMNO yang menyokong Najib daripada melihat mereka berada di atas pentas bersama pemimpin DAP, Kit Siang untuk menjatuhkan Perdana Menteri.