IPOH 29 Mac - Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan (Pesaka), Tan Sri Mohd Ali Rustam menyifatkan tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahukan campur tangan pihak istana untuk menyingkirkan perdana menteri sebagai cubaan mengheret institusi raja terutama Yang di-Pertuan Agong ke kancah politik.

Menurutnya, usaha untuk menggulingkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai satu usaha yang tidak bermoral dan tidak bertanggungjawab serta melanggar sistem demokrasi.

“Sekiranya tidak sukakan Najib, tunggulah sehingga pilihan raya kerana perkara ini bukan soal kehendak individu, ia membabitkan suara majoriti rakyat.

“Kalau nak jatuhkan kerajaan pun buatlah cara yang dibenarkan iaitu menerusi pilihan raya dan bukannya cara seperti ini dan terbaru beliau nak heret istana pula dalam politik mereka, kita amat kesal beliau bertindak seperti ini," katanya kepada pemberita pada sidang media, kelmarin.

Mohd Ali berkata demikian selepas merasmikan majlis Pemimpin Turun Ke Gelanggang Silat anjuran Pesaka Perak dengan kerjasama Koloni Karyawan Aman Jaya (Port).

Tun Mahathir dalam ucapannya pada Kongres Rakyat di Shah Alam berharap pihak istana akan mendengar keluhan rakyat dan campur tangan dalam menggesa peletakan jawatan Najib.

Mohd Ali yang juga Senator Dewan Negara menegaskan bahawa apa yang dilakukan oleh bekas perdana menteri itu di luar daripada apa yang diperjuangkan oleh Tun Mahathir sebelum ini.