GEORGETOWN 24 Mac - Pemuda UMNO hari ini membuat laporan baharu mengenai beberapa kepincangan sepanjang transaksi penjualan tanah di Taman Manggis oleh kerajaan negeri pada tahun 2012.

Laporan terbabit diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pagi tadi, oleh Ketua Pemuda UMNO negeri, Rafizal Abd Rahim.

Rafizal berkata, laporan terbabit mengandungi dokumen baharu mengenai penjualan tanah berkenaan dan berbeza daripada laporan sebelum ini.

"Kandungan laporan ini fokus kepada beberapa fakta baharu mengenai kepincangan penjualan tanah berkenaan. Ia berbeza berbanding laporan sebelum ini," katanya kepada pemberita sebentar tadi.

Beliau berkata demikian ketika menemani Setiausaha Pemuda UMNO negeri, Ifan Zaimi Md Tahar, mengemukakan laporan berkenaan.