KUALA LUMPUR 24 Mac - Semua pihak diminta tidak mengaitkan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dalam isu penyelewengan dana RM100 juta di kementerian berkenaan.

Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabsee, sebarang andaian melulu terhadap Khairy berhubung penahanan pegawai kanan kementerian tersebut dianggap sebagai tidak berasas.

"Ada pihak tuding jari kepada Khairy, desak beliau letak jawatan, kes tersebut tak ada kena mengena dengan menteri berkenaan.

"Saya tidak tidak menolak kemungkinan ada sesetengah pihak cuba 'menangguk di air keruh' untuk merosakkan nama baik Khairy.

"Serahkan sahaja isu tersebut kepada pihak berkuasa terutama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk melakukan siasatan menyeluruh," katanya dalam catatan terbaharu di blog umnobahagiancheras.blogspot.my miliknya.

Syed Ali mengulas kenyataan Khairy terhadap tindakan pegawai kanannya dalam perbuatan rasuah yang didakwa berterusan sejak lama sekali gus menunjukkan kakitangan kementerian itu menyalah guna prosedur yang tidak memerlukan kelulusan pegawai atasan termasuk Menteri atau Ketua Setiausaha.

BACA: SPRM tahan pegawai kanan kementerian terima rasuah cecah RM20 juta

Syed Ali turut yakin, Khairy juga amat kecewa dengan apa yang berlaku kerana isu tersebut mencetuskan kegusaran rakyat.

"Khairy yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia tidak sewajarnya dikaitan dengan isu tersebut.

"Saya difahamkan isu penyelewengan dana kementerian berkenaan didakwa berlaku sekitar tahun 2008, sedangkan Khairy dilantik sebagai menteri di kementerian tersebut selepas PRU ke-13.

"Dalam hal ini, mengapa pula Khairy yang dijadikan sasaran sesetengah pihak, saya rasa tidak adil dan berniat jahat," tegasnya.

Khairy ujarnya, sememangnya perlu bertanggungjawab atas kedudukannya sebagai menteri di kementerian berkenaan tetapi bukan bermakna meletakkan kesalahan tersebut di atas bahunya.

"Kita tidak boleh persalahkan sesiapa atau menuding jari kepada pihak tertentu, biarkan pihak berkuasa yang lakukan siasatan.

"Sebagai anggota kabinet dan ketua sayap Pemuda, Khary diyakini akan bertindak tegas membanteras apa juga penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan yang berlaku dalam pentadbiran kerajaan.

"Saya percaya Khairy adalah pemimpin yang berpegang kepada prinsip dan intergriti, beliau pastinya tidak akan bersekongkol dengan mana-mana pihak," jelasnya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini dilaporkan melahirkan rasa kecewa dan memandang berat kes penyelewengan melibatkan pegawai kanan kerajaan di Kementerian Beliau dan Sukan.

Pada 18 Mac lalu, SPRM menahan seorang setiausaha bahagian di kementerian dan lapan orang yang merupakan koktraktor kerana disyaki terlibat dalam penyelewengan dana kerajaan bernilai lebih RM100 juta.

Sementara itu, Setiausaha UMNO Bahagian Cheras, Datuk Syed Mehdhar Syed Abdullah mempertahankan pendirian Khairy dalam isu tersebut.

"Saya tidak nampak mengapa Khairy yang perlu dipersalahkan, isu tersebut membabitkan salah laku pegawai di kementerian, tak ada kaitan dengan menteri.

"Pada pemerhatian saya, ada pihak mengambil kesempatan untuk merosakkan reputasi Khairy sebagai pemimpin pelapis yang berpotensi," tegasnya.