GEORGETOWN 23 Mac - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilaporkan masuk ke Pejabat Kerajaan Negeri di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) di sini, pagi tadi, bagi memulakan siasatan pembelian banglo Ketua Menteri dan penjualan tanah di Taman Manggis.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu lintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow, berkata semua pegawai kerajaan negeri akan memberi kerjasama penuh kepada SPRM untuk menjalankan serta menyiapkan siasatan dengan segera.

"Kita dimaklumkan pihak SPRM melawat pejabat kerajaan negeri untuk menjalankan siasatan berhubung kes pembelian rumah (Lim) Guan Eng dan penjualan tanah di Taman Manggis.

"Kita menyokong segala tindakan yang diambil Ketua Menteri demi membantu SPRM dalam siasatan berkenaan," katanya dalam kenyataan tengah hari ini.