KUALA LUMPUR 22 Mac - Umat Islam perlu bersatu menentang agenda politik yang diperjuangkan DAP dan menggagalkan usaha parti itu yang berhasrat untuk memerintah negara, kata Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Memetik laporan Utusan Malaysia, Presiden PAS berkata, DAP tidak berhak untuk memerintah negara ini memandangkan kaum Cina hanya mewakili 30 peratus sedangkan jumlah umat Islam adalah 60 peratus.

“DAP mempunyai cita-cita lebih besar daripada sekadar menguasai ekonomi, oleh itu hanya melalui penyatuan umat Islam sahaja mampu memastikan negara ini terus diperintah oleh orang Melayu.

“Selain itu, kita juga telah mengingatkan UMNO supaya kembali kepada Islam demi penyatuan dan kekuatan ummah kerana memulihkan agenda politik merupakan satu sumbangan yang besar,” katanya ketika berucap dalam majlis perasmian Pusat Tarbiyah dan Dakwah PAS Bandar Tun Razak baru-baru ini.

Ahli Parlimen Marang itu turut mempersoalkan peranan Parti Amanah Negara (AMANAH) yang dipimpin Presidennya, Mohamad Sabu dalam memperjuangkan agenda politik di negara ini bersama DAP dan PKR.

Dalam pada itu, Hadi berkata, beliau bimbang berhubung situasi politik sekarang yang berpecah-belah dan menggugat kestabilan politik orang Melayu.

“Saya lihat DAP yang diwakili oleh kaum Cina telah berjaya walaupun mereka hanya terdiri daripada 30 peratus, lebih-lebih lagi mereka telah menguasai pendapatan per kapita yang lebih tinggi serta ada cita-cita lebih daripada itu.

“Kita akan tubuhkan unit tertentu seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk memantau orang Islam yang bersekongkol dengan DAP tidak menang pada pilihan raya umum akan datang. Perjuangan kita merupakan satu perjuangan yang berterusan,” katanya.