KUALA LUMPUR 20 Mac - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru Pemuda UMNO lebih berani tampil ke hadapan dan tidak hanya mengharapkan beberapa pihak lain seperti Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Dato Jamal Md Yunos sebagai benteng kekuatan berhadapan parti pembangkang.

Beliau berkata, Pemuda UMNO sewajarnya menjadi tunjang paling utama dalam menggerakkan kerja terutamanya bagi memastikan Barisan Nasional kembali menawan Selangor pada PRU-14.

Datuk Seri Dr Zahid Hamidi berkata demikian dalam ucapannya ketika merasmikan Persidangan Tahunan UMNO seluruh Negeri Selangor di sini hari ini.

Beliau merujuk tindakan Dato Jamal yang tampil berani mengasak pihak PBT menurunkan segera papan iklan 'Bebas Anwar' yang dipasang di seluruh negeri Selangor.

Sementara itu, beberapa sumber memaklumkan bahawa Dato' Jamal berkemungkinan akan ditahan pihak polis di IPD Ampang Jaya pada Selasa ini.

Ianya berikutan tindakan Pengerusi Gabungan NGO Selangor itu yang melakukan protes terhadap papan iklan 'Bebas Anwar' di sekitar Sungai Besar pada Jumaat lalu.

Pada Rabu lalu, Dato' Jamal telah dipanggil pihak polis untuk memberi keterangan berikutan tindakan sama yang dilakukan beliau di papan iklan 'Bebas Anwar' sekitar Ampang.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar memberi jaminan akan mengarahkan pihak PBT menurunkan sebarang papan iklan yang berbentuk hasutan di seluruh negeri Selangor.