KUALA LUMPUR 17 Mac - Pemimpin PKR Selangor menasihatkan supaya PAS memutuskan kerjasama di negeri itu selepas mengumumkan pembentukan blok baru pembangkang bersama Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN).

Pengerusi Biro Pekerja PKR, Abdullah Sani Abdul Hamid melihat kerjasama antara PKR dan PAS di Selangor sudah tidak relevan lagi.

"Setelah apa yang berlaku ini, saya kira ada prejudis di situ yang memerlukan ia berfikir semula.

"Tepuk dada, tanya diri sendiri bermaksud ia dilihat dari segi sudut mana. Kalau bermaksud dia hendak bertanding di semua kawasan, saya tidak nampak di mana logiknya ikatan ini perlu diwujudkan," katanya kepada pemberita tadi di lobi Parlimen.

Beliau mengulas kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menegaskan gabungan itu akan menjadi blok politik ketiga selepas Umno-Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 yang tempoh berbaki dua tahun lagi.

Abdul Hadi dalam pada itu turut bertegas blok baru pembangkang ini membawa agenda politik yang berbeza dengan PH.

Susulan penegasan Abdul Hadi yang dilihat penuh tersirat itu, Abdullah yang juga merupakan Ahli Parlimen Kuala Langat meminta supaya PAS tidak lagi berdolak-dalik.

"Jadi kalau hendak isytiharkan, dia perlu terang-teranglah, rakyat pun letih hendak melihat. Kita hendak buat kerja, kita bukan hendak politikus dalam parti masing-masing. Rakyat hendak melihat parti-parti politik ini boleh menjamin masa depan mereka," katanya.

Jelasnya, kehadiran blok baru pembangkang itu juga tidak mempunyai hala tuju yang jelas ekoran seringkali tidak mengambilkira pendapat parti pembangkang lain.

"Saya tidak nampak ia satu solusi atau penyelesaian untuk menggantikan yang lebih baik kerana ia adalah lebih malang kalau blok-blok itu menganggap sebagai blok pembangkang tetapi tidak mewarnai pembangkang sebenar untuk membentuk pakatan yang lebih diterima oleh rakyat," katanya.