AMPANG 16 Mac - Gabungan NGO- NGO Selangor memberi amaran kepada pihak terlibat khususnya Kerajaan Negeri Selangor pimpinan Azmin Ali agar menurunkan papan iklan 'Bebas Anwar' dalam tempoh segera.

Amaran keras itu dilakukan ketika berlangsungnya protes yang diketuai Pengerusi Gabungan NGO-NGO Selangor, Dato Jamal Md Yunos di perkarangan papan iklan 'Bebas Anwar' berdekatan Ampang Point, di sini hari ini.

Kumpulan protes yang disertai lebih 200 orang turut memasang kain rentang di papan iklan tersebut bagi memberikan mesej bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan tahanan politik sebaliknya seorang banduan yang telahpun dijatuhkan hukuman atas kesalahan meliwat Saiful Bukhari.

"Anwar Ibrahim adalah pesalah peliwat yang telah dijatuhkan hukuman. Maksud peliwat adalah : Anwar Ibrahim memasukkan batang zakarnya ke dalam lubang dubur lelaki secara paksa," demikian ayat tertera pada kain rentang yang dipasang sendiri Dato' Jamal.

Turut hadir termasuk Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Arman Azha Abu Hanifah dan beberapa pimpinan NGO Selangor.

Dato' Jamal ketika ditemui pemberita berkata, protes yang diadakan hari ini merupakan satu amaran kepada Kerajaan Negeri Selangor pimpinan Azmin Ali agar tidak menyalahgunakan kuasa menghasut rakyat sekaligus menghina keputusan mahkamah.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan akan membakar kesemua papan iklan 'Bebas Anwar' jika Kerajaan Negeri Selangor tidak bertindak dalam masa terdekat.

Tegasnya, Anwar sama sekali bukan tahanan politik sebagaimana yang dicanang akan tetapi diklasifikasikan sebagai tahanan jenayah yang dibicarakan secara adil sebelum diputuskan hukuman.

Dato' Jamal turut mengecam perbuatan pihak terlibat melabel Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai tahanan politik yang jelas menunjukkan penolakan terhadap proses undang-undang, pentadbiran keadilan serta ketelusan dan krelibiliti para hakim serta pendakwa raya yang melaksanakan tanggungjawab mereka sehingga Anwar disabitkan bersalah.

"Tindakan ini juga dilihat satu percubaan jahat berbentuk hasutan bagi menimbulkan rasa benci dan penghinaan di kalangan rakyat terhadap pentadbiran keadilan di Malaysia," katanya.

Sementara itu, sekumpulan penyokong PKR termasuk Ketua Ranting Batu Muda PKR Batu, Rozan Azen Mat Rasip telah cuba membuat kekecohan menghalang tindakan kumpulan protes tersebut.

Akan tetapi, ianya berjaya dikawal pihak polis dan protes itu berakhir dengan aman tanpa sebarang insiden tidak diingini.