KUALA LUMPUR 16 Mac -  Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed menganggap penganjuran Himpunan Muafakat Selamatkan Malaysia pada 27 Mac ini hanya akan menyusahkan rakyat.

Beliau berkata, pihak keselamatan tidak akan menghalang sekiranya pihak penganjur tetap meneruskan perhimpunan itu namun beliau memberi amaran sekiranya berlaku kekacauan atau rempuhan, pihak berkuasa akan mengambil tindakan sewajarnya demi menjamin keselamatan umum.

"Perhimpunan seperti ini menyusahkan orang ramai, menyusahkan pihak berkuasa tapi kalau penganjur dan rakyat nak berdemonstari juga kita tidak halang.

"Tapi kita mintak pihak yang bertanggungjawab itu untuk mengambil tangggungjawab, jangan lepas itu berlaku apa-apa kekacauan dan sebagainya, mereka salahkan kerajaan dan salahkan polis," katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen.

Himpunan berkenaan dianjurkan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim bagi bagi mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melepaskan jawatannya.

Perhimpunan itu turut disertai Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, selain pemimpin PKR dan DAP selepas mengikat perjanjian dalam Deklarasi Rakyat.

Bagaimanapun, himpunan itu akan diadakan secara tertutup dengan hanya melibatkan 1,000 peserta.

Tambah Nur Jazlan, pihak keselamatan tidak merancang sebarang tindakan lanjut mengenai himpunan berkenaan namun akan terus memantau perkembangan himpunan berkenaan sekiranya ia diadakan.

"Biar pihak polis menjaga keamanan, tanggungjawab kita menjaga keamanan, (Ada langkah tertentu untuk menjamin keselamatan rakyat?) Tidak ada," jelas Nur Jazlan lagi.

Sebelum ini Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar memberitahu pihaknya akan memantau himpunan tersebut meskipun ia dilakukan secara tertutup.

Beliau turut memberitahu bahawa anggota polis akan ditempatkan di kawasan yang akan dikenalpasti bagi memastikan tiada huru-hara berlaku.

Malah akan turut memantau ucapan yang dibuat dalam himpunan itu nanti untuk sebarang unsur hasutan.