Satu protes bantahan 'Jom Bakar Papan Iklan Selamatkan Anwar' bakal diadakan pada esok 16 Mac 2016 jam 3 petang di bawah Billboard berhadapan Restoran Rasyid Jalan Memanda 1, Taman Ahmad Razali, Ampang, Selangor (berhampiran Ampang Point).

Bantahan ini bertujuan bagi memberi isyarat kepada pihak terlibat termasuk Pihak Berkuasa Tempatan dan Kerajaan Negeri Selangor pimpinan Azmin Ali yang telah menghina keputusan mahkamah dalam kes Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Malah dakwaan songsang yang dibuat oleh penulis,pencetak atau penerbit papan iklan yang dipaparkan hampir di seluruh negeri Selangor ini turut menghina institusi perundangan negara.

Datuk Seri Anwar Ibrahim sama sekali bukan tahanan politik sebagaimana yang dicanang akan tetapi diklasifikasikan sebagai tahanan jenayah yang dibicarakan secara adil sebelum diputuskan hukuman.

Perbuatan pihak terlibat melabel Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai tahanan politik sebagaimana yang dipaparkan di papan iklan ini jelas menunjukkan penolakan terhadap proses undang-undang, pentadbiran keadilan serta ketelusan dan krelibiliti para hakim serta pendakwa raya yang melaksanakan tanggungjawab mereka sehingga Anwar disabitkan bersalah.

Tindakan ini juga dilihat satu percubaan jahat berbentuk hasutan bagi menimbulkan rasa benci dan penghinaan di kalangan rakyat terhadap pentadbiran keadilan di Malaysia.

Oleh itu, penganjuran 'Jom Bakar Papan Iklan Selamatkan Anwar' sebagai langkah drastik terhadap sikap tidak bertanggungjawab pihak Kerajaan Negeri Selangor menyalahgunakan papan iklan ini demi kepentingan politik sempit mereka.

DATO' JAMAL MD YUNOS

Pengerusi Gabungan NGO-NGO Negeri Selangor
Selasa, 15 Mac 2016