KUALA LUMPUR 15 Mac - Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA) mengakui bahawa NGO itu kini berpecah dua berikutan sebilangan ahlinya menyokong kepimpinan Datuk Seri Najib Razak manakala selebihnya pula memihak kepada mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Setiausaha Agungnya, Syed Hassan Syed Ali berkata, perpecahan NGO itu semakin memuncak setelah Presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali menghadiri Deklarasi Rakyat yang turut disertai pimpinan parti pembangkang termasuk DAP awal bulan lalu.

“Ahli UMNO dalam PERKASA sudah ada kem, sekarang sudah ada ahli UMNO keluar PERKASA melalui sidang media dengan aksi memotong kad keahlian PERKASA bagi tunjukkan tidak puas hati kepada presiden dan kepimpinan PERKASA.

“Mereka dakwa PERKASA lari dari perjuangan asal.

“Ada juga yang menyokong Mahathir dan mereka mahu potong kad keahlian UMNO melalui sidang media,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat PERKASA di sini hari ini.

Sebelum ini, Ibrahim mengakui beliau hadir ke majlis pemeteraian Deklarasi Rakyat tetapi tidak menandatanganinya kerana "namanya dan PERKASA tidak boleh dipisahkan".

Ibrahim menjelaskan, walaupun mereka yang menandatanganinya atas kapasiti individu "tapi maklumlah zaman Internet, pihak-pihak akan membuat pentafsiran masing-masing".