Bekas pembantu Datuk Seri Anwar Ibrahim, Saiful Bukhari Azlan berkata, menyokong Deklarasi Rakyat bermakna menyokong pembebasan Anwar dari tahanan penjara.

Katanya, 90 peratus yang menandatangani Deklarasi Rakyat mahu menggunakannya sebagai platform untuk membebaskan Anwar.

“Memang tiada klausa dalam deklarasi terkandung agenda membebaskan Anwar. Penaung deklarasi ini (Tun Mahathir Mohamad) juga dengan tegas menyatakan bahawa ia tidak ada kena mengena dengan “Bebas Anwar”.

“Namun 90 peratus yang menandatangani Deklarasi mahu menggunakannya sebagai platform membebaskan Anwar. Ini adalah peratusan yang amat tinggi, mana mungkin 10 peratus lagi dapat mengatasi kumpulan ini melainkan mereka amat berkuasa,” katanya dalam tulisan terbaru di blognya hari ini.

Saiful mengaku dia pernah dihubungi ‘beberapa individu’ yang mengundangnya untuk menandatangani deklarasi itu, tetapi menolaknya kerana tidak mahu menyokong pembebasan Anwar.

Saiful memetik laporan FMT 7 Mac lalu yang melaporkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail berkata, Pakatan Harapan menetapkan pembebasan Anwar akan menjadi antara agenda utama Deklarasi Rakyat, dan Mahathir serta pemimpin UMNO yang lain perlu menerimanya.

“Jadi wajarkah saya sokong gerakan yang mana majoriti ahlinya mahu Anwar dibebaskan?

“Jika saya sokong, secara tidak langsung saya akan dilabel sebagai pembohong, melakukan penipuan di mahkamah dan lebih besar lagi iaitu melanggar sumpah laknat saya yang telah saya lafazkan di Masjid Wilayah dan Masjidil Haram,” katanya lagi.