KUALA LUMPUR 15 Mac - Blok politik ketiga yang bakal diwujudkan Pas lebih cenderung kepada usaha mengimbangi pihak kerajaan dan pembangkang.

Bekas Setiausaha Pas Selangor, Norman Toha berkata, Pas dilihat cuba mewujudkan suasana politik sihat dan matang dengan tidak berpihak kepada mana-mana pihak.

“Maksudnya, apa yang dibuat oleh kerajaan hari ini tidak semua 100 peratus tidak baik. Ada yang baik dan ada yang tidak baik.

“Memang kekurangan itu wujud dan saya lihat kuasa ketiga ini cuba mengambil kekuatan parti yang ada, tetapi dengan keberadaan mereka ini dalam suasana politik semasa.

"Apa Pas cuba bawa adalah nak membaiki kelemahan dan beri sokongan kepada dasar baik yang dilaksanakan pemerintah,” katanya memetik laporan Sinar Harian.

Beliau berkata, Pas tidak lagi memikirkan soal kemenangan dan kekalahan dalam pilihan raya sebaliknya berusaha untuk mencapai agenda perjuangan mereka.

“Selepas 70 tahun mungkin mereka fikir apa yang hendak dicapai dengan kewujudan asas utama parti itu. Adakah mahu menang atau kalah atau mencari kebenaran dan menegakkan apa yang diperjuangkan.

“Mereka hanya perlu mencari rakan kongsi di peringkat Persekutuan yang boleh bersahabat baik dengan agenda perjuangan mereka,” katanya.

Katanya, usaha Pas itu adalah satu perkembangan dan pemikiran politik baharu yang memberi manfaat kepada rakyat berbanding politik kalah serta menang.

“Kerana kalah dan menang ini, apa sahaja perkara akan dibuat walaupun dengan satu undi. Akhirnya, pemikiran rakyat rosak dan negara akan hancur,” katanya.

Menurut Norman, kuasa ketiga yang bakal diwujudkan Pas bertujuan untuk mematangkan politik di negara ini.

“Sekarang ini bila kita lihat senario politik negara, pihak memerintah dengan pembangkang suka bergaduh sehingga apa sahaja yang datang daripada kerajaan akan dibangkang kerana semata-mata untuk membangkang.

“Begitu juga dengan pandangan yang muncul daripada pembangkang tidak diambil hirau oleh kerajaan walaupun ia membawa kebaikan untuk rakyat dan negara,” katanya.

Mengambil contoh landskap politik di Amerika Syarikat yang lebih matang berbanding Malaysia, Norman berkata, politik di negara tersebut mendidik rakyat dan membangunkan negara.

“Kita lihat politik di Amerika Syarikat lebih matang sebab di sana ada parti Republikan dan Demokrat. Apabila bertukar sahaja kerajaan yang memerintah, kerajaan baharu ini akan menyambung apa juga proses pembangunan dan pendidikan rakyat yang telah dibuat oleh pemerintah sebelumnya.

“Mereka teruskan dasar yang baik dan perbaiki mana yang tidak baik serta mereka tidak runtuhkan apa yang telah dibangunkan sebelumnya. Ini kerana rakyat dan pemerintah ada rasa tanggungjawab untuk bangunkan negara. Ia cukup berbeza dengan politik di negara kita apabila bertukar pemerintah, mereka cuba ubah segalanya seolah-olah ingin membuang legasi terdahulu,” katanya.

Katanya, selepas hampir 70 tahun menjadi sebuah parti politik, Pas telah melalui pelbagai pendekatan, bentuk kerjasama dan pengalaman.

“Mungkin dengan tempoh dewasa parti itu memberi satu ruang dan pandangan bahawa mereka mula kembali kepada bentuk semak dan imbang," katanya.