PADANG BESAR, 14 Mac - Ahli dan kepimpinan Umno Perlis menyatakan sokongan penuh kepada presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri dan mengecam 'Deklarasi Mahathir' yang dipolemikkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata tindakan Dr Mahathir boleh mengelirukan rakyat kerana seolah-olah menunjukkan bahawa perlembagaan dan sistem pilihan raya sudah tidak relevan dan tidak wajar dipertahankan.

"Semua orang sedia maklum bahawa untuk mewujudkan kerajaan adalah melalui perlembagaan yang memerlukan proses pilihan raya diadakan, bukan dengan mengambil pendekatan yang tidak cerdik seperti ini mengumpul tandatangan sekumpulan individu dan mendakwa ia mewakili hasrat rakyat.

"Untuk menjatuhkan seseorang perdana menteri, proses demokrasi diperlukan iaitu melalui pilihan raya atau usul undi tidak percaya. Tindakan melakukan usul undi tidak percaya dilihat tidak akan berlaku memandangkan ia memerlukan majoriti daripada anggota Parlimen daripada Umno dan Barisan Nasional (BN)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan 127 Cawangan Umno Padang Besar yang bermesyuarat di Dewan Ibnu Khaldun, Institut Kemahiran Mara Beseri di sini, Ahad.

Shahidan, yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, berkata tindakan berkenaan hanya lebih bermotifkan kepentingan dan agenda peribadi serta bukan hasrat majoriti rakyat negara ini.

"Rakyat hanya boleh melaksanakan perkara itu (menukar pemerintah sedia ada) semasa pilihan raya umum dan Umno akan kalah besar jika mereka (rakyat) membuat keputusan 'menghukum' Umno dalam pilihan raya umum berikutnya hanya disebabkan oleh terikut-ikut dengan anasir jahat berkepentingan peribadi ini.

Pada 4 Mac lepas, bekas timbalan perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan juga bekas menteri besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir adalah antara 58 individu menandatangani deklarasi yang menyokong penyingkiran Najib, diketuai Tun Dr Mahathir, bekas perdana menteri.