KUALA LUMPUR 14 Mac - Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah mempersoal gesaan Parti Gerakan kepada kerajaan untuk memindahkan penolong pengetua berbangsa India di sebuah Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Cina di Ipoh yang baru dilantik.

Pensyarah dan penceramah bebas mendakwa ia menunjukkan ultra kiasu Cina tidak mahu menerima guru bukan Cina yang tidak boleh berbahasa Cina dan melabelkan Parti Gerakan itu sebagai ‘bapak segala rasis’.

“Mereka mahukan operasi 78 SMJK Cina dan lebih 1300 SJKC (Sekolah Jenis Kebansaan Cina) seratus peratus Cina, menjadi sekolah satu warna. Apa semua ini? Kita harapkan KPM (Kementerian Pelajaran Malaysia) tidak akan tunduk,” katanya dalam ridhuant.blogspot.com.

“Hairannya, tidak ada seorang pemimpin UMNO yang sensitif. Pembangkang lagilah takut,” sindirnya lagi.

Bukan itu sahaja, beliau juga memberi beberapa cadangan kepada kerajaan antaranya menempatkan lebih ramai guru-guru bukan berbangsa Cina di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan SMJK untuk menunjukkan kepelbagaian budaya dan sesuai dengan semangat 1Malaysia.

“Jika Sekolah Kerajaan (SK dan SMK) boleh menerima guru bukan Melayu, tidak kira sama ada mereka mahu berbahasa Melayu atau tidak, kenapa sekolah Cina tidak boleh?Apa besarnya sekolah Cina?

“Ketiga, jika merasakan sistem pendidikan di Malaysia masih tidak cukup, termasuk mendesak kerajaan mengiktiraf sijil UEC (Sijil Peperiksaan Bersepadu), maka carilah tempat lebih baik untuk membina sekolah sebegini.

“Mana ada kerajaan di dunia ini yang membenarkan sekolah sebegini (aliran Cina) dibina, kecuali Malaysia? Semuanya dibantu,” soalnya.

Dalam pada itu, Ridhuan memuji layanan pengetua Melayu terhadap guru-guru bukan Melayu yang dilihatnya lebih profesional dan kurang rasis di SK dan SMK berbeza dengan SJKC.