KUALA LUMPUR 10 Mac- PAS akan mengumumkan penubuhan sebuah pakatan pembangkang baharu pada 16 Mac ini.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, ianya merupakan platform baharu sebagai satu blok politik ketiga dengan penyertaan bersama beberapa parti politik bagi menghadapi PRU14.

"PAS akan ada blok pembangkang sendiri dan saya akan umumkan pada 16 Mac ini.

"Pastinya ia gabungan pembangkang. Di Malaysia ada lebih 20 parti politik yang berdaftar, jadi ada yang milik satu kelompok dan ada parti milik satu bangsa," katanya ketika ditemui pemberita di lobi Dewan Rakyat, di Parlimen, di sini, hari ini.

Setakat ini, PAS mengesahkan hanya bekerjasama dengan PKR setelah meluluskan usul memutuskan hubungan DAP pada Muktamar yang lalu.

Pengumuman PAS ini memberi tamparan hebat kepada Pakatan Harapan yang terdiri daripada PKR, DAP dan PAN sekaligus menggagalkan usaha mereka memastikan pertandingan satu lawan satu pada PRU14.