KUALA LUMPUR 3 Mac - Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menghadiri perjumpaan tertutup bagi mendesak pengunduran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 27 Mac ini.

Muhyiddin yang digantung jawatannya sebagai Timbalan Presiden UMNO itu turut mengesahkan menerima jemputan daripada bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim yang merupakan penganjur program tersebut.

"InsyaAllah, sebab sekarang ini pun saya tiada peluang untuk cakap sebegini (dalam sidang media).

"Maksud saya, kalau majlis itu tujuannya baik, saya telah diberitahu oleh Datuk Zaid Ibrahim dia hendak adakan perhimpunan ini bertujuan untuk mengumpulkan beberapa ahli-ahli pejuang dalam negara kita untuk menyuarakan bantahan terhadap kepimpinan, jadi saya fikir kita sehaluan.

"Jadi atas dasar itu, Insyallah saya akan hadir," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Jumaat lalu, mesyuarat MT UMNO yang dipengerusikan Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menggantung jawatan Muhyiddin sebagai Timbalan Presiden UMNO.