KUALA LUMPUR 1 Mac - Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa berkata, pengumuman Tun Dr Mahathir Mohamad keluar Umno hari ini sudah lama diduga olehnya.

Katanya, beliau sama sekali tidak terkejut dengan tindakan bekas perdana menteri itu.

Annuar yang juga merupakan Ketua Umno Bahagian Ketereh mendakwa pengumuman itu merupakan satu lagi strategi yang berterusan dalam usaha Dr Mahathir bagi 'menumpaskan' Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak selepas usaha beliau mempengaruhi ahli parlimen dan usaha mempengaruhi Umno bahagian gagal.

"Strategi terbaru ini adalah untuk melumpuhkan dan membunuh Umno sebagai kaedah terakhir menewaskan Najib. Pendekatan ini di dorong pengalaman Mahathir dimana beliau bersedia mengorbankan Umno demi mencapai matlamat menewaskan musuh peribadi politiknya.

"Kerajaan Umno Kelantan 'dibunuh' dalam usaha Mahathir menewaskan Tengku Razaleigh, Kerajaan Umno Selangor 'terkorban' berikutan usahanya menumpaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Pulau Pinang juga jatuh dalam usahanya menewaskan Tun Abdullah Badawi.

"Justeru terpulanglah kepada ahli Umno untuk melihat episod terbaru ini. Barang siapa berjuang kerana Mahathir mungkin mengikuti beliau dan barang siapa berjuang kerana Umno demi agama, bangsa dan tanah air sama sekali tidak perlu goyah dengan gelagat satu individu kerana Umno itu bukan Mahathir, tanpa beliau perjuangan tetap diteruskan.Semoga ALLAH melindungi Umno," katanya.

Sementara itu, seorang lagi Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, Mahathir sebenarnya sudah lama hilang pertimbangan maka tindakan beliau keluar Umno tidak lagi mengejutkan bahkan tidak lagi relevan.

"Beliau sudah lama sebenarya menikam Umno kerana tindakan menganggu kepimpinan Najib adalah sama seperti mensabotaj Umno untuk kalah dalam PRU ke 14.

"Tindakan Tun M adalah betul kerana lebih baik dia berjuang dari luar untuk menyerang Najib setelah gagal hampir setahun untuk menumbangkan Najib dari dalam," katanya.

Ujarnya lagi ketika Dr Mahathir menjadi Presiden Umno pun dua bekas Presiden Umno iaitu Tunku Abdul Rahman dan Tun Hussien On juga telah keluar parti.

"Maka tindakan Tun M bukan gejala baru, tidak menghairankan dan Umno saya yakin mampu menanganinya.

"Saya yakin tidak ramai yang ikut jejak Tun M seperti mana ketika beliau keluar Umno di zaman pemerintahan Tun Abdullah Badawi. Saya percaya kali ini Tun tidak akan berpatah balik kepada Umno. Saya juga percaya Umno akan bertambah matang dan bersatu dengam tindakan Tun M itu," katanya.