KUCHING 1 Mac - Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem berharap parti komponen Barisan Nasional (BN) negeri sedia menampilkan calon wanita pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Beliau mengakui ada menerima permintaan supaya calon wanita ditampilkan dalam pilihan raya itu.

"Memang ada permintaan dari pihak wanita... Saya sedang memikirkan calon daripada pergerakan Pemuda and pergerakan Wanita, jika ada yang sesuai.

"Saya hargai jika ada parti komponen selain PBB (Parti Pesaka Bumiputera Bersatu) mengemukakan calon wanita.

"Seingat saya selain (Datuk) Lily Yong (dari SUPP) tidak ada lagi (calon wanita) yang datang dari parti komponen sebelum ini. Saya harap mereka kemukakan seseorang," kata Adenan.

Lily Yong bekas ADUN Padungan dari Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).

Adenan bercakap pada sidang media Majlis Makan Malam Mesra Jentera Wanita Barisan Nasional (BN) Sarawak bersama Ketua Menteri dan Ketua Wanita BN Kebangsaan di sini malam semalam.

Turut hadir Ketua Wanita BN Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Ketua Wanita BN Sarawak Puan Sri Empiang Jabu serta semua ketua pergerakan wanita parti komponen BN.

Sementara itu, Shahrizat berkata pergerakan wanita BN amat mengagumi dan menghormati kepimpinan Adenan selaku Ketua Menteri dan Pengerusi BN Sarawak yang dibantu oleh 'pasukannya' seperti yang disebut oleh Perdana Menteri.

Shahrizat melahirkan keyakinan di bawah kepimpinan Adenan BN Sarawak akan memperoleh kemenangan pada PRN akan datang.