KUALA LUMPUR 30 Mac - Status Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) umumnya masih selamat dan terkawal walaupun sering berdepan pelbagai cubaan penculikan, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, semua agensi menerusi Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sentiasa berwaspada menghadapi sebarang kemungkinan ancaman.

"Petugas Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) sentiasa berusaha menangkis pencerobohan dan penculikan, namun insiden tidak diingini boleh berlaku jika kita kurang berwaspada.

"Sejak penculikan terakhir pada 14 Mei 2015, ESSCOM berjaya menyekat dan mematahkan beberapa percubaan dari semasa ke semasa untuk menculik rakyat Malaysia dan pelancong asing.

"Kejayaan ini adalah susulan usaha kerajaan sejak ESSCOM ditubuhkan pada 7 Mac 2013 bagi mengawal keseluruhan 1,400 kilometer kawasan pantai timur Sabah," katanya menjawab soalan Datuk Raime Unggi (BN-Tenom) di Dewan Rakyat, sebentar tadi.

Raime meminta kerajaan menyatakan tahap keselamatan termasuk prasarana anggota keselamatan bagi seluruh ESSZONE susulan insiden pencerobohan pengganas di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada 11 Februari 2013.

Najib berkata, pelbagai inisiatif ke arah memantapkan keselamatan ESSZONE telah dan sedang diambil, termasuk mengukuhkan pos keselamatan di pulau yang mempunyai pusat peranginan, menerusi inisiatif peningkatan anggota keselamatan serta kelengkapan bersesuaian.

Perdana Menteri berkata, kerajaan turut meningkatkan kehadiran kapal peronda di sepanjang perairan ESSZONE daripada purata 39 kapal kepada 85 kapal sehari.

"Langkah lain adalah mengoptimumkan penggunaan teknologi pengawasan dron kawalan jauh (UAV), sistem pengawasan radar dan meningkatkan operasi penguatkuasaan di laut serta darat setiap hari di laluan berisiko tinggi.

"Kita turut meningkatkan usaha pengumpulan maklumat risikan, baik secara domestik dan merentas sempadan serta interaksi dengan komuniti melalui program bersama masyarakat," katanya.