PUTRAJAYA 29 Mac - Malaysia dan Maldives komited untuk meneruskan kerjasama dua hala dalam bidang strategik untuk kedua-dua negara.

Perkara itu dicapai selepas mesyuarat dua hala antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Maldives Abdullah Yameen Abdul Gayoom di Putrajaya.

"Malaysia dan Maldives menikmati hubungan yang sangat mesra dan rapat, serta berkongsi pendapat yang sama dalam pelbagai isu antarabangsa.

"Saya amat berpuas hati dengan keputusan yang dicapai pada mesyuarat dua hala hari ini, kerana ia memberi peluang pada kita untuk bukan sahaja membincangkan isu kepentingan bersama, tetapi bagaimana untuk mendalami dan menguatkan lagi kerjasama dua hala ini," kata Najib pada sidang media sejurus selepas mesyuarat tersebut diadakan.

Antara keputusan yang dicapai termasuk memanjangkan tempoh visa bagi warga Maldives dari 30 ke 90 hari.

Menurut Najib, ia selari dengan hasrat kerajaan untuk melihat lebih ramai pelancong Maldives berkunjung ke Malaysia, dan juga bagi pelajarnya melanjutkan pelajaran.

Dalam pada itu, Abdulla Yameen, yang dalam rangka lawatan rasmi dua hari di Malaysia diberikan sambutan rasmi di Perdana Putra di sini, hari ini.

Ketibaan beliau dan isteri Fathimath Ibrahim di bangunan Perdana Putra disambut oleh Perdana Menteri dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Selepas lagu kebangsaan Maldives dan Malaysia dimainkan, Abdulla Yameen kemudiannya memeriksa barisan kawalan kehormat terdiri daripada 106 anggota dan pegawai Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja.

Abdulla Yameen, dengan diiringi Najib, kemudiannya diperkenalkan kepada menteri kabinet, pegawai kanan kerajaan dan diplomat asing yang hadir.

Kedua-dua menikmati hubungan baik dalam pelbagai bidang termasuk pendidikan, pelancongan serta bantuan teknikal.