KUALA LUMPUR 24 Mac - ‘Johor’. Ini jawapan ringkas Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim ketika diajukan soalan beliau berpihak kepada siapa antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dalam pada itu, Tunku Ismail meminta semua pihak membaca kenyataannya sebelum ini dengan teliti dan mengingatkan media agar tidak memutarbelitkan kata-katanya atau mengambil kenyataannya di luar konteks.

“Komen-komen yang saya buat sebelum ini diarahkan kepada Kerajaan Persekutuan. Saya memberikan komen-komen tersebut untuk memastikan dan mengingatkan Kerajaan Persekutuan agar perkara itu tidak berlaku lagi tanpa mengira siapa pemimpin.

“Ia tidak ditujukan kepada Tun Mahathir atau kepada sesiapa. Ia ditujukan kepada sistem. Saya tidak menyokong sesiapa yang korup,” katanya yang dipetik melalui kenyataan di Facebook.

Semalam, melalui Facebook Johor Southern Tiger, Tunku Ismail berkata, krisis Perlembagaan yang berlaku pada tahun 1992 ketika era pemerintahan Tun Mahathir mengingatkannya kepada layanan buruk yang diterima keluarganya serta rakyat jelata ketika itu.

“Malah Bonda saya juga ditahan oleh Kastam Malaysia sewaktu kembali ke Johor dari Singapura. Bonda saya diarah melangkah keluar dari kenderaan kerana mereka mahu memeriksa kenderaan dengan terperinci.

“Saya masih ingat segala-galanya dan saya masih ingat kepada individu-individu yang bertanggungjawab," katanya.

Namun katanya, semua peristiwa itu adalah perkara lama yang tidak perlu ditangisi lagi.