KUALA LUMPUR 23 Mac - Tun Dr Mahathir Mohamad tidak memiliki locus standi atau hak perundangan untuk memfailkan saman terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan derma RM2.6 bilion.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed, berkata ia berikutan kes itu tidak memiliki kaitan secara langsung kepadanya, sama ada sebagai bekas Perdana Menteri atau rakyat biasa.

Katanya, tindakan Dr Mahathir menuntut ganti rugi teladan berjumlah RM2.6 bilion dan ganti rugi berpanjangan berjumlah RM42 juta hanyalah gimik politik untuk mendapatkan publisiti.

"Dia nak saman sebagai apa, orang yang teraniaya atau ada kena mengena dengan kes itu...tidak ada. Dia tidak ada locus standi kerana jumlah RM2.6 bilion itu tiada kaitan dengannya.

"Tidak ada peruntukan undang-undang membolehkan rakyat kemukakan saman terhadap anggota Eksekutif kerana tindakan mereka, melainkan mereka terkesan secara langsung dalam perkara yang disaman.

"Tindakannya mengemukakan saman ini hanyalah untuk publisiti dan gimik politik untuk membangkitkan kemarahan," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Dr Mahathir memfailkan saman terhadap Najib berhubung kes 1MDB di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.

Selain Mahathir, dua plaintif lain adalah bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan bekas ahli Wanita UMNO Langkawi, Anina Saadudin.

Ketiga-tiga plaintif memohon perisytiharan bahawa Najib melakukan perbuatan salah laku dalam jawatan awam dengan menggunakan kedudukan dan jawatan sebagai perdana menteri, Pengerusi Barisan Nasional dan Presiden UMNO.

Plaintif turut memohon perintah supaya Najib membayar ganti rugi teladan berjumlah RM2.6 bilion dan ganti rugi berpanjangan berjumlah RM42 juta kepada Kerajaan Malaysia.