KUALA LUMPUR 23 Mac - Semua sekolah di seluruh negara termasuk Perlis dan Kedah akan beroperasi seperti biasa esok.

Kementerian Pendidikan menerusi satu kenyataan berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan pemantauan terhadap cuaca kering dan panas di seluruh negara dalam tempoh 72 jam iaitu sehingga hari ini mendapati suhu yang dicatatkan di bawah 38 darjah Celsius.

"Bagaimanapun, kementerian mengingatkan pihak pengurusan sekolah supaya mengambil langkah perlu seperti menangguhkan semua aktiviti luar bilik darjah sehingga dimaklumkan kemudian.

"Pihak pengurusan sekolah juga perlu memastikan bekalan minuman air bersih di sekolah masing-masing mencukupi, sentiasa berwaspada serta bekerjasama dengan klinik dan hospital berdekatan sekiranya berlaku sebarang komplikasi kepada murid akibat cuaca panas," katanya.