PUTRAJAYA 22 Mac - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyarankan agar umat Islam di negara ini berlapang dada dalam menangani perbezaan pendapat.

Menurutnya, janganlah kerana perkara yang kecil, titik bengit, khilafiah mahupun terlalu taksub kepada pemimpin atau kumpulan sehingga mendorong kepada permusuhan.

“Ia, sekaligus mendorong kepada permusuhan, kebencian dan menaruh prasangka serta label yang tidak sepatutnya daripada seorang muslim kepada saudara muslim yang lain,” ujarnya sewaktu berucap merasmikan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan Kali Ke-59 di Perbadanan Putrajaya, hari ini.

Ujar Najib lagi, Islam juga membenarkan umatnya berbeza pendapat dan menyuarakan pandangan, namun ia haruslah dilakukan dengan beradab.

“Dalam erti kata lain, Islam membenarkan kita berbeza pendapat, menyuarakan pandangan dan juga bantahan, tetapi harus ada adabnya serta mesti konsisten khususnya dalam perkara sesama Islam,” jelas beliau lagi.

Mengulas lanjut, Najib turut memberitahu bahawa Islam mengajar umatnya untuk mencapai sesuatu perkara menggunakan kaedah yang murni dan betul.

“Misalnya, kalau kita mempunyai sesuatu objektif atau tujuan yang baik, tetapi kalau kita bersekongkol, bersubahat dengan orang yang anti Islam, tak senang dengan Islam, maknanya ada yang tidak betul dan ditegah oleh agama. Hal ini kerana, kesudahannya akan menghancurkan Islam itu sendiri,” kata beliau lagi.