KUALA LUMPUR 16 Mac - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata kerajaan tidak akan hilang fokus dengan siri serangan Tun Dr. Mahathir Mohamad, sebaliknya mahu memberi tumpuan kepada rakyat dan pentadbiran negara.

Jelas Najib, walaupun diserang bekas Perdana Menteri itu secara terang-terangan, segala agenda dalam negara yang telah dirancang tetap dilaksana dalam memastikan negara berada di landasan yang betul.

"Saya memang sedar dan sudah dengar akan perkara ini, dan tidak hairan perkara ini berlaku sebab pada masa dulu waktu Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri pun macam-macam gelaran dilemparkan kepada dia, seperti Mahazalim, Mahafiraun dan lain-lain lagi.

"Tapi sekarang ini duduk bersama (dengan pembangkang), saya nak beritahu bahawa sebagai Perdana Menteri dan rakan-rakan saya dalam pentadbiran kami tetap beristiqamah dan fokus.

"Ini penting apapun serangan kita jangan hilang hala tuju, jangan hilang fokus kita tetap komited untuk melaksanakan pelan kita sebab kita sudah ada pelan," katanya selepas menjawab soalan lisan tambahan daripada Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa.

Sebelum itu, Annuar mengutarakan persoalan kepada Najib adakah beliau sedar akan gerakan yang dikepalai bekas pemimpin Umno itu yang mahu beliau meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.

Jelas Najib, kerajaan kini akan terus memberi fokus kepada segala perancangan yang telah dirancang sehingga mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

"Pelan kita nak laksanakan pelan kita berjaya dan dikitiraf di peringkat antarabangsa, maknanya kalau kita terus beristiqamah dan konsisten lambat laun rakyat akan menghargai usaha yang dilakukan kerajaan," jelas Najib lagi.

Awal bulan ini, Mahathir bersama anaknya Datuk Seri Mukhriz dan Tan Sri Muhyiddin Yassin secara rasmi menyertai pemimpin pembangkang dan aktivis untuk menggulingkan Najib apabila menandatangani Deklarasi Rakyat yang mendesak pengunduran pemimpin berkenaan.

Dokumen ditandatangani mereka bersama 55 pemimpin lain yang terdiri daripada pembangkang, aktivis dan bekas wartawan banyak mengitar semula tuduhan-tuduhan Mahathir terhadap Najib mengenai hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan sumbangan RM2.6 bilion.