SEKINCHAN 11 Mac – Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Dato’ Jamal Md. Yunos hari ini mengumumkan mengambil seorang anak angkat berbangsa Cina iaitu adik Heng Yu Chuan yang merupakan anak kepada seorang nelayan dari Sekinchan yang dimaklumkan masih belum pulang ke rumah selepas keluar menangkap ikan dan botnya dikatakan ditahan oleh Penguatkuasa Indonesia baru-baru ini.

Beliau mengumumkan perkara itu dalam satu sidang media yang diadakan di Taman Indah di sini hari ini.

Beliau berkata, keputusan ini adalah atas rasa perikemanusiaan dan simpati terhadap nasib kanak-kanak berusia 5 tahun itu yang berdepan dengan kesukaran hidup setelah kehilangan bapanya.

Katanya, ianya juga lahir atas rasa tanggungjawab dalam memastikan nasib adik Heng Yu Chuan terus terbela.

Pengerusi BN Sungai Besar itu menjelaskan, perbezaan agama dan bangsa tidak menghalang beliau untuk mengambil keputusan tersebut kerana apa yang lebih penting adalah bagi memastikan adik Heng Yu Chuan diberi kasih sayang sepenuhnya seperti kanak-kanak lain.

Keputusan Dato Jamal turut dikagumi majoriti masyarakat cina nelayan di Sekinchan yang menyifatkan beliau bukan seorang pemimpin yang berfahaman rasis seperti yang digembar gemburkan beberapa pihak sebelum ini.

Dato Jamal juga memberi jaminan akan memastikan adik Heng Yu Chuan dapat membesar dengan sempurna seperti kanak-kanak yang lain.

Sehingga kini, tiada sebarang maklumat mengenai kehilangan bapa kepada adik Heng Yu Chuan.

Sebelum ini, Dato Jamal telah mengetuai penyerahan memorandum kepada wakil Kedutaan Indonesia bagi mendesak pihak berkuasa Indonesia memulangkan semula bot nelayan yang ditahan dan ditunda di perairan Malaysia.

Beliau juga telah menyerahkan memorandum kepada pihak Wisma Putra bagi memastikan insiden ini disiasat segera agar para nelayan mendapat pembelaan sewajarnya.