KUALA LUMPUR 1 Mac - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, dukacita dengan sikap masyarakat Melayu kerana gagal mempertahankan tulisan Jawi yang menjadi warisan bangsa.

Baginda bertitah, huruf dan tulisan Jawi bersumberkan huruf yang terkandung dalam kitab al-Quran, selain berakar umbi di bumi ini dan menjadi sebahagian daripada budaya dan identiti bahasa Melayu.

Titah baginda, huruf dan tulisan Jawi mendapat tempat utama dalam persuratan Melayu serta berperanan sebagai huruf yang digunakan dalam urusan surat menyurat utama dan watikah penting Raja-Raja Melayu yang kekal digunakan di istana hingga hari ini.

"Amatlah pilu di hati, amatlah terhiris jantung bangsa, apabila akhbar Utusan Melayu bertulisan jawi terpaksa dihentikan penerbitannya atas timbangan yang diletakkan di dacing perniagaan.

"Amat menghibakan apabila huruf dan tulisan Jawi menghadapi nasib malang, terkubur tanpa nesan dengan pemberhentian penerbitan akhbar Utusan Melayu.

"Lebih menghibakan apabila hayatnya ditamatkan, bukan ketika negara diperintah oleh kuasa penjajah tetapi akhbar itu dikuburkan tanpa talkin dalam sebuah negara merdeka, pada waktu bahasa Melayu dinobatkan sebagai Bahasa Kebangsaan, ketika orang Melayu masih memiliki kuasa politik dan pada waktu anak Melayu yang terpelajar masih diberikan amanah menerajui pelbagai Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) yang menunjukkan keuntungan besar kewangan," titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada majlis perasmian Anugerah Bisnes Utusan (UBA) 2015 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengarah Urusan Kumpulan Utusan Melayu (Malaysia) Bhd, Datuk Mohd Noordin Abbas.

Anugerah yang julung kali diwujudkan Kumpulan Utusan itu adalah pengiktirafan dan penghargaan kepada syarikat dan individu terhadap pencapaian serta sumbangan mereka dalam industri masing-masing dalam pembangunan ekonomi Malaysia.

UBA dibahagikan kepada tiga kategori iaitu Anugerah Kecemerlangan Industri, Anugerah Kecemerlangan Kepimpinan dan Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat.

Tiga tokoh korporat yang menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat ialah Presiden dan Ketua Eksekutif Permodalan Nasional Berhad, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman; Presiden Limkokwing University of Creative Technology, Tan Sri Paduka Dr Lim Kok Wing serta Pengerusi Wesports Malaysia Sdn Bhd, Tan Sri G Gnanalingam.

UBA turut memberikan Anugerah Tokoh Negarawan Ulung kepada Perdana Menteri Kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.

Anugerah itu diterima isteri Allahyarham, Tun Rahah Mohd Noah.

Sultan Nazrin Shah yang juga penaung Diraja UBA, berkenan menyampaikan anugerah kepada penerima.