BANGKOK 1 Mac - Migran dari seluruh Asia dan Pasifik memainkan peranan utama menggerakkan pembangunan, membantu meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) di negara destinasi, sambil membantu keluarga dan komuniti di negara asal mereka.

Laporan Migran Asia Pasifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 2015 bertajuk 'Sumbangan Migran Kepada Pembangunan' yang dikeluarkan hari ini, bagaimanapun menyebut manfaat penghijrahan masih kurang diakui.

"Laporan mendapati banyak pekerja migran tidak sahaja mendapat faedah daripada penghijrahan mereka, tetapi turut menyumbang kepada pembangunan di negara asal dan negara destinasi menerusi kerja mereka dan wang yang dihantar pulang," tambah laporan itu.

Begitupun, menurut laporan itu migran turut berdepan kesukaran dan penderaan. Justeru tindakan perlu diambil untuk memaksimumkan faedah yang ada dengan memastikan perhijrahan dibuat secara teratur, selamat dan bertanggungjawab.

Laporan itu juga menyebut, ia mendapati lebih 95 juta orang dari negara Asia dan Pasifik tinggal di luar negara mereka dilahirkan dengan rantau berkenaan menempatkan 59 juta migran, majoritinya pekerja sementara.

Rantau Asia Pasifik menempatkan lebih daripada 5.5 juta pelarian dan tiga daripada negara utama menempatkan pelarian di dunia ini adalah di rantau tersebut.