SYDNEY 24 Mac - Dua serpihan objek yang ditemui di Mozambique ‘berkemungkinan besar daripada pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang’, kata Menteri Pengangkutan Australia pada Khamis.

Kenyataan tersebut adalah lanjutan daripada analisis yang dijalankan pakar-pakar teknikal.

“Analisis tersebut telah merumuskan bahawa serpihan itu hampir dipastikan daripada pesawat MH370,” ujar Darren Chester dalam satu kenyataan.

Tambah kenyataan itu: ‘Serpihan yang ditemui di pesisiran timur Afrika konsisten dengan model hanyutan arus yang dilakukan pihak CSIRO (badan sains kebangsaan) dan seterusnya mengesahkan usaha pencarian di selatan Lautan Hindi.”

Proses pemeriksaan itu diketuai Pasukan Penyiasat Keselamatan MH370 dengan kerjasama pakar-pakar Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB), Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA), Malaysia Airlines dan Boeing.

Pesawat MH370 yang dalam penerbangan ke Beijing, China dengan membawa 239 penumpang dan anak kapal dilaporkan hilang pada awal pagi 8 Mac, 2014, selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Serpihan di Mozambique itu tertulis perkataan ‘No Step’ manakala serpihan kedua juga ditemukan di negara itu, telah dibawa ke Afrika Selatan oleh keluarga yang menemukan kedua-dua serpihan itu.