MOSCOW 15 Mac - Presiden Russia, Vladimir Putin semalam mengarahkan Kementerian Pertahanan untuk memulakan pengunduran tentera Russia dari Syria.

"Tugas yang ditetapkan ke atas kementerian pertahanan dan angkatan tentera secara keseluruhannya sudah selesai dan mulai esok saya memerintahkan Kementerian Pertahanan untuk memulakan penarikan semula bahagian utama kontinjen tentera kita dari Republik Arab, Syria," kata Putin.

Kremlin mengumumkan bahawa Putin sudah menghubungi Presiden Bashar al-Assad untuk memaklumkan sekutu kuat Moscow itu mengenai langkah mengejut yang bakal menamatkan bahagian utama campur tangannya dalam konflik Syria sejak September lalu.

Kedua-dua pemimpin itu bagaimanapun turut bersetuju bahawa Moscow akan mengekalkan kemudahan tentera udara di Syria untuk membantu memantau perkembangan gencatan senjata di negara bergolak itu.

"Assad mengiktiraf profesionalisme, keberanian dan kepahlawanan pegawai angkatan tentera Russia yang mengambil bahagian dalam operasi ketenteraan dan amat menghargai sokongan Russia," menurut kenyataan Kremlin. - AFP