NARATHIWAT 10 Mac - Dua anggota tentera terbunuh manakala tiga lagi cedera parah apabila sebutir bom meletup ketika mereka sedang bertugas mengawal keselamatan guru di Kampung Air Seret, di sini hari ini.

Ketua Polis Narathiwat Mej Jen Pattanawut Angkanawin berkata kejadian berlaku 3 petang apabila tiang elektrik yang tumbang akibat letupan itu, menghempap kenderaan mereka ketika mengawal keselamatan guru di Sekolah Air Kroh, Chanet.

"Dalam kejadian itu, seorang guru nyaris maut apabila tiang elektrik yang tumbang akibat ledakan bom itu menghempap keretanya," katanya di sini, hari ini.

Menurut guru terbabit, Sirirat Tanvornmak, walaupun keretanya dihempap tiang elektrik namun dia tetap berusaha memandu keretanya keluar dari lokasi kejadian.

Katanya dia memandu sejauh dua kilometer ke Sekolah Kampung Pari untuk meminta bantuan walaupun kenderaannya rosak teruk.