KUALA LUMPUR 17 Mac - Komposer terkenal, Datuk Adnan Abu Hassan, 57, dilaporkan sedang kritikal di Hospital Selayang, di sini kerana serangan angin ahmar, diabetes dan kegagalan buah pinggang berfungsi.

Adnan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital berkenaan sekitar jam 2 pagi tadi dan kini bergantung kepada alat bantuan pernafasan.

Pengurus Artis & Repertoire Luncai Emas Sdn Bhd, Sham Amir Hussain ketika dihubungi berkata, doktor mengesahkan keadaan komposer itu sedang tenat malah turut meminta ahli keluarga berada di sisinya untuk memberikan semangat.

"Adnan menghidap kencing manis dan darah tinggi. Sejak dimasukkan ke hospital awal pagi tadi, beliau hanya bergantung kepada alat bantuan pernafasan. Doktor juga ada meminta ahli keluarganya berada di sisi untuk memberikannya semangat," katanya.

Keadaan kesihatan komposer yang pernah mencipta kegemilangan pada era 1980-an hingga awal dekad 2000 itu mula diperkatakan apabila dirinya dilihat lemah ketika muncul pada Anugerah MeleTOP, dua tahun lalu untuk memberi penghormatan kepada penyanyi tersohor, Datuk Siti Nurhaliza.

Keadaan dirinya itu sekali lagi menimbulkan kerisauan ramai ketika menyerikan Konsert Unplugged Datuk Siti Nurhaliza di Panggung Sari, Istana Budaya pada 7 April tahun lalu apabila Adnan tidak dapat berjalan dengan baik hingga terpaksa dipimpin oleh seorang petugas untuk naik ke pentas.

Komposer berpengaruh yang pernah menaikkan nama penyanyi seperti Fauziah Latiff, Siti Nurhaliza, Misha Omar dan Liza Hanim itu dikenali menerusi karyanya yang meraih pengiktirafan termasuk Teratai Layu Di Tasik Madu, Jerat Percintaan, Bunga-Bunga Cinta serta Puncak Kasih.

Sumbangan besarnya dalam industri hiburan melayakkan Adnan menerima pengiktirafan Anugerah Wirama pada Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-17 pada tahun 2010.