Diana Danielle menafikan dakwaan yang beliau menghalau seorang pelajar tahfiz yang mencari dana bagi rumah anak yatim.

Sebelum itu, seorang individu bernama ‘Muazrin Mustapha’ memuat naik gambar Diana di sebuah restoran dan mendakwa pelakon itu didatangi pelajar Rumah Amal Bistari di Yan, Kedah, yang membuat jualan amal.

“Bukan kata nak beli atau bagi sumbangan ikhlas, bila budak tu dah pergi, dia perlecehkan pula budak itu,” dakwa individu terbabit.

Menyifatkan dakwaan itu sebagai fitnah, Diana menjelaskan walaupun tidak membeli barang yang dijual, beliau sebenarnya memberikan sedekah kepada pelajar itu.

“Pelajar itu balas ‘terima kasih, semoga murah rezeki, saya jual ya’ sebelum beredar. Selepas itu, saya pandang rakan dan tanya balik, ‘jual apa? Kita tak ambil apa-apa kan?’, itu sahaja. Mana ada saya perlekeh dia,” katanya lagi di Instagram.

Walaupun kecewa dengan dakwaan itu, Diana berkata, beliau sudah pun memaafkan individu terbabit dan berharap ia tidak berulang pada masa hadapan.

“Sakitnya hati bila difitnah secara halus macam ni. Saya sudah maafkan awak dan saya harap awak janganlah buat status macam ini lagi,” katanya lagi.