KUALA LUMPUR 31 Mac - Rizab Malaysia kekal boleh digunakan pada akhir Februari 2016, berdasarkan kepada butiran terperinci mengikut format Special Data Dissemination Standard (SDDS) Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Bank Negara Malaysia (BNM) dalam satu kenyataan hari ini berkata, aset rizab rasmi berjumlah AS$95.631 bilion pada akhir Februari, manakala aset mata wang asing lain berjumlah AS$1.41 bilion (AS$1 = RM3.925).

Bagi tempoh 12 bulan akan datang, bank pusat berkata aliran keluar jangka pendek bagi pinjaman dalam mata wang asing berjumlah AS$1.409 bilion disebabkan oleh pembayaran balik berjadual peminjaman luar negeri oleh Kerajaan.

Sebahagian besar pembayaran balik berjadual peminjaman luar negeri oleh kerajaan mencerminkan Sukuk Global Wakala (AS$1.2 bilion) yang akan matang pada bulan Julai 2016, kata bank pusat itu.

Sementara itu, data tersebut tidak termasuk anggaran aliran masuk mata wang asing daripada pendapatan faedah dan pengeluaran pinjaman projek sebanyak AS$2.273 bilion bagi tempoh 12 bulan akan datang.

BNM berkata, satu-satunya salur keluar bersih jangka pendek aset mata wang asing luar jangka ialah jaminan Kerajaan bagi hutang luar negeri yang akan matang dalam tempoh satu tahun, berjumlah AS$1.101 bilion.

Sebahagian besar jaminan adalah terhadap bon luar pesisir sebuah perusahaan awam (AS$1.0 bilion) yang akan matang pada bulan Mac 2016, kata bank negara.