KUALA LUMPUR 24 Mac - Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) mengumumkan pengagihan pendapatan tiga tabung di bawah Amanah Saham Gemilang iaitu ASG-Pendidikan, ASG-Kesihatan dan ASG-Persaraan bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2016.

Pemegang unit ASG-Pendidikan akan menerima pengagihan pendapatan 6.00 sen seunit, ASG-Kesihatan pula 7.00 sen seunit manakala ASG-Persaraan akan menerima 6.80 sen seunit.

Pengerusi Permodalan Nasional Bhd (PNB), Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid, berkata pengiraan pengagihan pendapatan bagi ketiga-tiga tabung adalah berdasarkan baki unit yang dipegang oleh pemegang unit pada 31 Mac 2016, hari terakhir tahun kewangan setiap tabung unit amanah terbabit.

Katanya, bagi membolehkan pemegang unit menikmati pulangan daripada pertumbuhan unit amanah berkenaan, pembayaran pengagihan pendapatan akan dilabur semula dalam bentuk unit secara automatik dan dikreditkan ke dalam buku pelaburan pada 1 April ini, berdasarkan Nilai Aset Bersih (NAB) pada 31 Mac 2016.

"Pemegang unit boleh mengemaskini buku pelaburan ASG masing-masing di pejabat atau ejen ASNB seluruh negara mulai 1 April ini.

"Bagi pemegang unit yang melanggan unit ASG menerusi Skim Pelaburan Ahli KWSP, pembayaran pengagihan pendapatan akan dikreditkan ke dalam akaun pelaburan KWSP yang berkenaan," katanya mengumumkan pengagihan pendapatan ASG di sini, sebentar tadi.