KUALA LUMPUR 17 Mac - Ringgit mengukuh berbanding dolar AS pada pembukaan pagi ini disebabkan minat belian dan di tengah-tengah pengukuhan harga minyak, kata peniaga.

Pada 9 pagi, ringgit disebut harga pada 4.0800/0880 berbanding dolar AS daripada 4.1300/1380 semalam.

Peniaga berkata, minat dalam ringgit juga muncul susulan ulasan daripada pengurus dana antarabangsa bahawa ringgit sebenarnya berada di bawah nilai sebenar sungguhpun Malaysia mencatat pertumbuhan ekonomi yang baik.

Pengerusi Eksekutif Templeton Emerging Markets Group, Mark Mobius, berkata ringgit yang jatuh lebih 15 peratus berbanding dolar sejak Januari tahun lalu, sebaliknya menjadikan Malaysia sangat menarik.

Sementara itu, harga minyak mentah terus naik pagi ini berikutan laporan akan potensi pembekuan pengeluaran daripada OPEC.

Harga penanda aras dagangan hadapan minyak mentah Brent bagi penghantaran Mei di ICE di London menokok 3.38 peratus kepada AS$40.03 satu tong.

Sementara itu, ringgit lebih kukuh berbanding beberapa mata wang utama lain.

Ia kukuh berbanding dolar Singapura kepada 2.9897/9971 daripada 2.9919/9988 semalam dan lebih baik berbanding yen kepada 3.6180/6260 daripada 3.6336/6420.

Ringgit mengukuh berbanding pound British kepada 5.8222/8352 daripada 5.8295/8424 dan menokok berbanding euro kepada 4.5741/5847 daripada 4.5785/5885 pada Rabu.