KUALA LUMPUR 15 Mac - Malindo Air memulakan operasinya di Terminal Utama Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Malindo Air, Chandran Rama Muthy, berkata pemindahan operasi dari Terminal klia2 itu bertujuan meningkatkan lagi khidmat pelanggan, selain meletakkan syarikat penerbangan itu di landasan pertumbuhan mampan dalam jangka panjang.

Bagaimanapun, katanya operasi pesawat turbo-prop ATR72-600 Malindo Air dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang tidak terjejas.

"Kami berharap dalam jangka panjang dapat menyumbang secara positif kepada pertumbuhan industri penerbangan dan pelancongan negara, selain meningkatkan lagi pertumbuhan ekonomi negara.

"Dalam tempoh peralihan, kakitangan lapangan terbang dan dari jabatan lain akan ditempatkan di beberapa tempat strategik di sekitar terminal untuk membantu penumpang dengan pergerakan pelepasan dan ketibaan," katanya dalam satu kenyataan.