KUALA LUMPUR 15 Mac - Kerajaan tiada perancangan untuk membubarkan syarikat pelaburan strategik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada masa ini.

Kementerian Kewangan, dalam jawapan bertulis kepada soalan Dr Ko Chung Sen (DAP-Kampar) di Dewan Rakyat hari ini, menyatakan 1MDB sentiasa memenuhi komitmen pembayaran balik prinsipal dan faedah pinjaman dengan konsisten.

Menurut Kementerian Kewangan, syarikat itu menerajui projek jangka panjang untuk mengambil peluang ke atas pelaburan dan kepakaran antarabangsa bagi melabur dalam projek yang mempunyai nilai pengganda tinggi serta berinovasi.

"Antara pelaburan dijalankan 1MDB ialah Tun Razak Exchange (TRX), Bandar Malaysia dan sektor tenaga," menurut kenyataan itu.

Menurut Kementerian Kewangan, isu utama 1MDB adalah 'mismatch' antara aliran masuk daripada operasi perniagaan serta penjualan aset dengan aliran keluar pembayaran keluar faedah hutang dan prinsipal.

Ketidakpadanan berlaku disebabkan penangguhan pelan pelaksanaan tawaran awam permulaan (IPO) dan kesukaran penjualan tanah milik 1MDB akibat daripada pelbagai tohmahan yang dilemparkan terhadap syarikat itu.